Friday, March 09, 2007

Akal Budi 89 - Jatuh

Rupa-rupanya ada yang sangat berminat dan terus menanyakan mengenai lanjutan kisah Genghis. Kisahnya kurang lebih begini:

Genghis Khan, atau nama sebenarnya Temu jan, adalah pemimpin puak nomad Mongol di Asia Tengah yang hidup antara 1162-1227. Dalam sejarah, beliau merupakan antara personaliti yang sangat dikenali. Beliau merupakan ketua perwira-perwira berkuda yang berkemahiran tinggi yang menguasai China dan semua kawasan Asia di Utara Banjaran Himalaya. Keperwiraan Genghis, akhirnya, tamat apabila beliau meninggal dunia setelah terjatuh daripada kuda yang ditungganginya.

Orang-orang yang sedar dan berakal budi tidak melihat jatuh sebagai sesuatu yang merungsingkan dan menyusahkan mereka. Jatuh bukanlah satu kegagalan. Jika mahu, anggaplah ia sebagai satu ketewasan yang awal, atau sementara. Dengan kata lain, jatuh tidaklah penting. Sebagaimana disebutkan, jatuh bukanlah kegagalan. Apabila kita tidak berupaya bangun, maka itulah yang boleh dikatakan satu kegagalan. Bagaimanapun, itu juga tidaklah boleh dianggap sebagai muktamad kerana ia tertakluk kepada penerimaan seseorang. Sama ada mahu menganggap jatuh dan tidak bangun-bangun itu sebagai gagal ataupun sebaliknya, terpulanglah kepada sikap mental masing-masing.

Ketewasan atau kecundang tidak akan menjadi satu kegagalan sekiranya kita tidak menerimanya sedemikian. Ada sahabat yang pernah berkata, ”kita bukan kalah, kita cuma tidak menang”. Sehandal-handal penakluk besar seperti Genghis (Genghis bermaksud ”Pemerintah dunia”), yang terkenal dengan kehebatan menunggang dan mengawal kuda, akhirnya maut di kaki kuda juga. Maksudnya, apalah yang dihairankan dengan kejatuhan kerana yang terjatuh adalah tubuh fizikal kita sedangkan semangat dan keyakinan kita tidak ikut tumbang dan kaku lesu. Inilah sebenarnya yang sepatutnya dikandung oleh kekuatan akal budi kita tatkala menghargai jatuh-bangun dalam mana-mana episod kehidupan kita sehari-hari sehingga kita akhirnya dijemput ke alam baqa’. Jatuh hanyalah peringatan. Tidak lebih, tidak kurang.

”Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya)” Al-Qur’an (90:4)