Tuesday, October 31, 2006

Mutiara Kata 35 - Mimpi

Kata sebaris peribahasa Cina,

"Impikanlah mimpi yang berlainan walaupun di atas katil yang sama."

Monday, October 30, 2006

Mutiara Kata 34 - Jiran & Rakan

Satu lagi peribahasa Arab yang tidak kurang berfalsafah tinggi:

"Tanyalah siapa jiran sebelum membuat rumah; lihatlah siapa rakan sebelum berjalan."

Friday, October 20, 2006

Mutiara Kata 33 - Kata & Senyap

Ada peribahasa Arab yang menarik, berbunyi:

"Sekiranya kata-kata diperbuat daripada perak, maka senyap itu diperbuat daripada emas."

Thursday, October 19, 2006

Mutiara Kata 32 - Marah yang murni

Kata Aristotle,
"Sebenarnya amatlah mudah untuk marah - sesiapa pun boleh melakukannya. Namun untuk berasa atau bertindak terhadap orang yang sepatutnya, pada tahap yang betul, pada masa yang tepat, dengan cara yang sesuai dan kena, ia tidaklah semudah itu. Bukan setiap orang mampu melakukannya. Untuk melakukan semua itu adalah sesuatu yang sangat jarang, namun terpuji dan amat mulia."

Wednesday, October 18, 2006

Mutiara Kata 31 - Kasih

Kehilangan seseorang - lenyap terus dari muka bumi atau sekadar tidak kelihatan rupa kerana dipisahkan oleh keadaan dan masa - memang memberi banyak kesan. Yang meninggalkan dunia, ditinggalkan mereka hanya nama, budi dan nesan di kuburan. Yang hilang di mata, hanya meninggalkan rindu dan nostalgia kenangan lama. Apa pun, sangatlah senang untuk mengingati betapa ada perkara lain - seperti ikatan tali yang menyimpul - yang mendekatkan kita dengan sesiapa sahaja. Kutipan kata-kata Thornton Wilder ini barangkali merumuskan semua makna, saya terjemah dan tafsir semudahnya:

"Malah, memori sekalipun, tidaklah perlu sebenarnya untuk menunjukkan cinta dan kasih. Di sana terdapat bumi untuk mereka yang hidup; ada juga bumi untuk mereka yang sudah mati dan pergi; dan titiannya ialah kasih, sesatunya yang hidup, sesatunya yang melangsungkan makna."

Tuesday, October 17, 2006

Mutiara Kata 30 - Cita-Cita

Dalam puisi karangan Henry van Dyke, disebutkan dengan bersahaja - namun indah - mengenai kemurniaan cita-cita, diterjemahkan secara bebas di sini:
"Ada cita-cita yang lebih murni dan agung selain daripada keinginan berada di puncak dunia. Cita-cita itu adalah dengan meletakkan diri kita nun jauh di bawah dan menjulang kemanusiaan sedikit lebih tinggi daripada diri kita sendiri."

Monday, October 16, 2006

Mutiara Kata 29 - Menerima kenyataan

Al-Ghazali pernah menggariskan beberapa perkara misalnya mengenai makanan - yang disifatkannya sebagai tidak konsisten dengan menerima kenyataan, kurang lebih begini,
"Mengkritik makanan dan mencari kesilapan dan kesalahan mengenainya adalah bererti menolak apa yang Allah SWT telah tentukan kerana menyalahkan apa yang dicipta atau dibuat bermakna juga menyalahkan si pencipta atau si pembuat sedangkan segalanya ditentukan oleh Allah SWT."

Friday, October 13, 2006

Mutiara Kata 28 - Menghargai detik-detik waktu

Saya pernah terbaca kata-kata yang indah, dicatatkan nama penulisnya Corita Kent, antara lain berbunyi,
"Cintailah setiap detik waktu itu. Bunga mekar dari celah kegelapan malam. Setiap detik waktu itu sentiasa penting dan diperlukan. Ia mempengaruhi keseluruhannya. Hidup adalah peralihan dan penggantian detik-detik waktu seumpama itu. Maka kejayaan adalah pada setiap saat kita menghidupkan setiap detik itu."

Thursday, October 12, 2006

Mutiara Kata 27 - Percaya & Faham

Kata Al-Ghazalli, kurang lebih,

"Untuk memahami, anda perlu mempercaya."

Wednesday, October 11, 2006

Mutiara Kata 26 - Kuasa

Menguji personaliti seseorang bukanlah sesuatu yang sukar. Berikanlah kepadanya amanah dan kuasa, lihat apa yang dilakukannya. Seperti kata Lincoln sekali dulu,
"Hampir-hampir kebanyakan lelaki berupaya menahan pelbagai rintangan, tetapi sekiranya mahu menguji perwatakan seseorang, berikan kepadanya kuasa."

Monday, October 09, 2006

Mutiara Kata 25 - Bangga & Percaya

Pernah terbaca di mana-mana,

"Berbanggalah sekadarnya mengenai betapa jauh sebenarnya anda berjalan sehingga tiba di sini; dan yakin serta percayalah pula akan sejauh mana anda boleh meneruskan perjalanan."

Friday, October 06, 2006

Mutiara 24 - Reputasi & Kemuliaan

Kadang-kadang kesilapan berlaku apabila nama baik atau reputasi disalahertikan sebagai kemuliaan dan penghormatan. Bila itu berlaku, yang lupa akan terus terlupa.

"Nama baik atau reputasi adalah apa yang orang ketahui mengenai saya. Kemuliaan dan penghormatan adalah apa yang saya sendiri mengerti mengenai diri saya sendiri."

Thursday, October 05, 2006

Mutiara 23 - Cerdik & Bebal

Shakespeare kata,

"Orang yang bebal berasa dirinya pandai dan bijak, sedangkan orang yang bijak berasa dirinya bebal."

Wednesday, October 04, 2006

Mutiara 22 - Bergundah-gulana

Janganlah bergundah-gulana sekiranya mendapat kesusahan. Buangkanlah airmata barang sedikit, namun usahlah berpanjangan. Yang tenang, tetap dan bersih,
”Seseorang yang benar tidak akan peduli sama ada keseluruhan nilai dirinya musnah daripada hati-hati manusia semata-mata atas niat untuk memperbaiki hatinya sendiri. Dia tidak ingin manusia melihat walau sekecil manapun kebaikan dirinya, dan dia tidak kisah sekiranya keburukan atau kekurangannya diketahui oleh orang lain, kerana sekiranya sebaliknya, ia akan dilihat meninggikan dirinya di mata orang lain, dan itu adalah terkeluar daripada sifat-sifat orang yang siddiqin.”
Harith al-Muhasibi (R.A)

Tuesday, October 03, 2006

Mutiara 21 - Perasan

Melihat diri sendiri berbeza dengan melihat diri orang lain. Tidak akan sama apa yang saya inginkan dengan apa yang orang lain perhatikan, begitu:

"Biarkan dunia fana mengenalimu sebagai dirimu sendiri, bukannya mengikut apa yang engkau rasa dan mahu percaya segalanya mengenai dirimu itu." (Fannie Brice)

Monday, October 02, 2006

Mutiara 20 - Baik

"Bukankah tidak ada balasan bagi amalan yang baik, melainkan balasan yang baik juga?" (Ar-Rahmaan, 55:60)