Thursday, March 08, 2012

KEPERCAYAAN


Ibarat lilin yang menyala, kepercayaan mengerdip antara sela-seli hembusan angin. Siapa yang memilih untuk mempercaya atau sebaliknya, sama ada dia yang menghembus atau dia yang terkena hembusannya, jarang dipersoal selama kepercayaan itu terus dinyalakan. Pilihlah antara keduanya.

Sunday, February 05, 2012

MASA

Saya tidak pasti sama ada saya mengekori masa atau masa yang menghambat saya. Saya tidak pernah berusaha mencari jawabannya. Saya tidak nampak ada keperluan untuk bersegera mendapatkan jawabannya. Namun saya rasakan amat perlu untuk sentiasa menyoal "Selepas ini, apa?"

Saturday, February 07, 2009

sumo

Avoid sumo competitions, unless you have the strength to overpower your opponent.

(Cusumano & Yoffie, 1998)

Friday, October 10, 2008

idilfitri 1429







bersama prof hazman








suri-suri fsppp melayan tetamu









menjamu selera - saya, dato' Qosim, Dr Naqiyuddin

Wednesday, October 08, 2008

menara & lambang

Ada banyak menara di dunia: Eiffel, Pisa, London, KL, Petronas. Semuanya mempunyai sifat dan simbol atau lambang yang tersendiri. Lambang adalah kepelbagaian tanda. Bukan tunggal. Eiffel mungkin lambang kecintaan dan kasih sayang. Ia pasti hebat untuk kekasih. Namun Eiffel belum tentu menjadi apa-apa kepada si penderita cinta. Kepada pelukis berjiwa, Pisa mungkin mewakili perasaan sentimental yang menggamit rindu perenungnya. Namun belum pasti Pisa boleh memberi apa-apa makna kepada si buta yang tidak berdosa.
Walau apa pun, benar sungguhlah kepercayaan orang bahawa setiap menara tetap melambangi sesuatu. Menara London melambangi istana kota kehebatan kerajaan Norman yang pernah dijadikan rumah pasung negara. Menara Kuala Lumpur lambang sebuah bandaraya unik yang mewakili pelbagai kaum manakala Menara Berkembar Petronas adalah penanda negara Malaysia.

Bagaimana pun, lain menara lain pula lambangnya. Setiap menara tersebut tidak berkongsi lambang dan perasaan yang serupa. Eiffel tidak upaya memiliki rasa dan cinta Pisa. Pisa tidak upaya memiliki ruh dan semangat karamah raja-raja seperti Menara London. Menara London pula tidak upaya menawan kelainan KL tentang diaspora bandaraya. Begitu juga, meski mereka mengongsi alam dan udara yang sama, KL tidak upaya mendongak gahnya Petronas.
Namun ada satu sifat yang semua menara di muka bumi ini memilikinya. Setiap menara memiliki pemerhati. Pemerhati menghidupkan sifat luar mana-mana menara. Sebagai pemerhati, menara menjadi binaan yang dibangunkan oleh manusia, untuk tontonan manusia, dan digunakan oleh manusia sendiri. Menara adalah lambang. Lambang diberikan maknanya oleh manusia. Bagaimana pun, semua menara mempunyai perlambangan yang berbeza-beza kerana sebahagian manusia yang memerhatinya sekadar menjadi penonton, sedangkan sebahagian yang lain pula memilih untuk menjadi perenung. Menonton hanyalah pada mata. Merenung adalah pada makna. Lalu tinggallah menara sebagai hanya sekadar binaan semata-mata apabila yang datang memerhati hanyalah menonton, mungkin atas alasan suka-suka, atau kerana seni estetikanya, ataupun mungkin juga kerana ritual dan agamanya. Dengan kata lainnya, kerana terpaksa.
Lain pula halnya apabila menara didatangi oleh perenung. Pusaran energi perenung yang memikir segi-segi sebuah menara, misalnya tentang rupanya, tentang akar sejarahnya, atau malah tentang jiwa perekaciptanya, memperkukuh sebuah menara luar dan dalamnya. Perenung menghidupi sesebuah menara dengan cara memikirkan siapa penghuninya dan kenapa mereka berada di dalamnya. Akan berupayakah, katakan, seorang penulis puisi tentang manusia mengutip bait-bait kemanusiaan dengan berada di aras lima Menara Jam Condong di Teluk Intan? Atau di aras tertinggi Eiffel? Atau, katakan, di Menara Berkembar Petronas? Jika berupaya, tentang segi kemanusiaan yang manakah yang termampu dihasilkan penulis puisi itu? Adakah ianya tentang kehebatan kota Paris yang menjadi tumpuan pelancong? Tentang kemegahan Menara London yang menyimpan alat-alat kebesaran diraja Britain? Atau tentang harga air mata kesengsaraan para gemulah yang menahan dada-dada mereka kepada peluru-peluru batu yang dimuntahkan meriam-meriam lela penjajah di pinggir Sungai di Pasir Salak?
Petikan daripada: Menara, dbp 2008.

Sunday, October 05, 2008

"Dengan mencetuskan pelbagai perilaku dalam hubungan kita dengan orang lain, kita berlaku adil atau tidak adil; dan dengan mencetuskan perilaku tatkala berhadapan dengan ancaman dan bahaya, kita dibiasakan dengan perasaan bimbang ataupun yakin, lalu kita menjadi semakin berani ataupun pengecut... kerana apabila kita dibiasakan untuk berdiri teguh lalu menahan dan mengharung segala keburukan dan kepayahan, kita akan menjadi berani; sesudah itulah kita kemudiannya mampu bertahan dan berhadapan dengan apa sahaja yang menghalang."
Aristotle (350 SM)

Saturday, September 06, 2008

duga fikir

Sesuatu yang diduga mengerah minda fikir. Sesuatu yang difikir, menduga tahap akal.

Friday, June 29, 2007

Positif lawan Negatif

“Apa-apa sahaja yang memperkuat sesuatu positif, pastinya akan melemahkan mana-mana negatif yang sering menyusul.”

Tuesday, June 26, 2007

Topeng

Tatkala disangkutkan di dinding, topeng jadi perhiasan paling indah dan menarik. Ketika diturunkan lalu dilekapkan ke wajah, topeng menjadi perhiasan paling mengeliru bahkan kepada si pemakainya sendiri!

Tuesday, June 12, 2007

Ada yang lebih penting

Ini petikan ucapan pemenang hadiah Pulitzer, Ann. Menarik. Cuba renung.

"I learned to live many years ago. I learned to love the journey, not the destination. I learned that it is not a dress rehearsal, and that today is the only guarantee you get. I learned to look at all the good in the world and try to give some of it back because I believed in it, completely and utterly. And I tried to do that, in part, by telling others what I had learned. By telling them this: Consider the lilies of the field. Look at the fuzz on a baby's ear. Read in the back yard with the sun on your face.

Learn to be happy. And think of life as a terminal illness, because if you do, you will live it with joy and passion as it ought to be lived"."

Thursday, June 07, 2007

Jika tidak berani

"Jika kita terus menyerah kepada ketakutan, bagaimana kita akan menghargai keberanian?"

Wednesday, May 30, 2007

Jika tidak, apa?

Kita telah melalui banyak jalan yang memulangkan nasib baik, menikmati banyak kejayaan, dan mengharungi banyak kesedihan. Sesekali kenapa tidak mencuba memberikan nasib baik, membuang kejayaan dan menolak kesedihan?

Monday, April 09, 2007

Mutiara 96 - Tangga

"Kejayaan yang tulen dan bermakna seumpama tangga. Kita mesti memanjat anak-anak tangganya satu persatu supaya kita bisa mengukur dan menghargai tinggi rendah dunia."

Monday, April 02, 2007

Mutiara 95 - Bukan Kepunyaan Kita

Apa yang kita ada - atau yang kita tiada - memang bukan kepunyaan kita. Adakah wang itu - yang disimpan dengan rasa selamat di kocek atau di dompet itu sememangnya milik kita, lalu tiba-tiba datang seseorang menghampiri kita dan memintanya daripada kita untuk sebarang tujuan? Jika wang itu sememangnya milik kita, kenapa dia datang memintanya daripada kita? Adakah kerana dia tahu kita lemah atau terlalu 'baik'? Atau apa?

Tuesday, March 20, 2007

Mutiara 94 - Enak dan Sakit

Jika kamu sentiasa menolak dan membenci kesakitan, bagaimanakah kamu akan tahu dan menikmati yang enak?

Monday, March 19, 2007

Mutiara 93 - Percaya

Khusus untuk Daia (Eddy, kemudian-kemudian nantilah) yang banyak bertanya...
"Bila seseorang mengatakan 'tewas', fikirkan kejayaan. Bila seseorang menyebut "kalah", ingatlah mengenai kemenangan. Jika seseorang menyatakan anda "tidak akan mampu", katakan kepada mereka anda sudah tentu boleh! Dengan sikap anda yang positif, tidak ada gunung yang terlalu tinggi untuk didaki, tidak ada lautan yang terlalu dalam untuk direnangi."

Friday, March 16, 2007

Mutiara 92 - Words...

“Life and death are in the power of the tongue, and those who love it will eat its fruit.”

Mutiara 91 - Diamond, is it?

You may be so beautiful, pretty, and perhaps elegant. You look at yourself as a diamond no matter what people say about your look or attitude. In real fact, you are actually a diamond in the rough...

It means someone of good character who lacks social graces. Think!

Mutiara Kata 90 - Wanita & Lelaki

Ini renungan mengenai kecantikan dan kebijaksanaan.
"Keayuan adalah kebijaksanaan wanita. Kebijaksanaan adalah kecantikan lelaki."

Friday, March 09, 2007

Akal Budi 89 - Jatuh

Rupa-rupanya ada yang sangat berminat dan terus menanyakan mengenai lanjutan kisah Genghis. Kisahnya kurang lebih begini:

Genghis Khan, atau nama sebenarnya Temu jan, adalah pemimpin puak nomad Mongol di Asia Tengah yang hidup antara 1162-1227. Dalam sejarah, beliau merupakan antara personaliti yang sangat dikenali. Beliau merupakan ketua perwira-perwira berkuda yang berkemahiran tinggi yang menguasai China dan semua kawasan Asia di Utara Banjaran Himalaya. Keperwiraan Genghis, akhirnya, tamat apabila beliau meninggal dunia setelah terjatuh daripada kuda yang ditungganginya.

Orang-orang yang sedar dan berakal budi tidak melihat jatuh sebagai sesuatu yang merungsingkan dan menyusahkan mereka. Jatuh bukanlah satu kegagalan. Jika mahu, anggaplah ia sebagai satu ketewasan yang awal, atau sementara. Dengan kata lain, jatuh tidaklah penting. Sebagaimana disebutkan, jatuh bukanlah kegagalan. Apabila kita tidak berupaya bangun, maka itulah yang boleh dikatakan satu kegagalan. Bagaimanapun, itu juga tidaklah boleh dianggap sebagai muktamad kerana ia tertakluk kepada penerimaan seseorang. Sama ada mahu menganggap jatuh dan tidak bangun-bangun itu sebagai gagal ataupun sebaliknya, terpulanglah kepada sikap mental masing-masing.

Ketewasan atau kecundang tidak akan menjadi satu kegagalan sekiranya kita tidak menerimanya sedemikian. Ada sahabat yang pernah berkata, ”kita bukan kalah, kita cuma tidak menang”. Sehandal-handal penakluk besar seperti Genghis (Genghis bermaksud ”Pemerintah dunia”), yang terkenal dengan kehebatan menunggang dan mengawal kuda, akhirnya maut di kaki kuda juga. Maksudnya, apalah yang dihairankan dengan kejatuhan kerana yang terjatuh adalah tubuh fizikal kita sedangkan semangat dan keyakinan kita tidak ikut tumbang dan kaku lesu. Inilah sebenarnya yang sepatutnya dikandung oleh kekuatan akal budi kita tatkala menghargai jatuh-bangun dalam mana-mana episod kehidupan kita sehari-hari sehingga kita akhirnya dijemput ke alam baqa’. Jatuh hanyalah peringatan. Tidak lebih, tidak kurang.

”Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya)” Al-Qur’an (90:4)